Life is a struggle

Waspada dan teruskan berjalan..

Golongan as-sabiquun

Tahukah saudara-saudaraku siapakah golongan as-sabiquun? Secara ringkasnya, merekalah golongan orang-orang yang bersegera melakukan segala yang diperintahkan Allah taala. Dalam surah al-Mukminun ayat 61, Allah memuji golongan yang sabiquun ini melalui kata-katanya yang bermaksud, "Mereka itulah golongan yang bersegera untuk melakukan kebaikan dan merekalah golongan yang sabiquun (iaitu orang-orang yang bersegera untuk memperolehnya)."

Di dalam Tafsir al-Azhar, Hamka pernah menyebut, "Golongan ini bertindak cepat lagi aktif. Mengapa? Disebabkan hati mereka berasa takut ketika maut datang amalan mereka masih kosong dan mereka tidak membawa sebarang bekalan ke sana. Justeru, mereka berlumba-lumba dan dahulu-mendahului melakukan amal. Hal ini mereka lakukan bukan bertujuan untuk meninggalkan kawan, sebaliknya untuk mendapatkan keredhaan dan kasih Tuhan."

Dalam surah al-Waqiah, Allah telah membahagikan manusia ini kepada tiga jenis golongan. Yang pertamanya ialah golongan kanan atau maimanah. Golongan kedua pula ialah golongan kiri atau masyamah dan golongan ketiga ialah golongan as-sabiquun as-sabiquun. Allah menyatakan dalam mengenai golongan-golongan ini dalam ayat 8 hingga 12 yang bermaksud, "Iaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan golongan as-sabiquun as sabiquun. Merekalah orang-orang yang didekatkan kepada Allah. Berada dalam syurga kenikmatan,"

Hamka di dalam Tafsir al-Azhar menterjemahkan as-sabiquun as-sabiquun sebagai "orang-orang yang paling dahulu." Merekalah golongan yang paling cemerlang dan paling istimewa. Seterusnya Hamka berkata, "Mereka ialah golongan yang apabila datang waktu solat, merekalah yang paling dahulu datang ke masjid. Apabila datang panggilan jihad, merekalah yang terlebih dahulu tampil ke hadapan untuk berjuang. Merekalah golongan yang apabila datang seruan Allah, mereka tidak termenung panjang sebaliknya mereka terus bangkit dan bergerak untuk mematuhi perintah Allah. Sudah pasti merekalah golongan yang paling dekat dengan tempat yang dituju (iaitu syurga)."

Jika golongan as-sabiquun begitu cemerlang sehingga tidak ada tolok bandingnya, apakah ciri yang mereka miliki yang menjadikan mereka seperti itu? Dalam surah al-Mukminun ayat 57 hingga 61, Allah menceritakan ciri-ciri itu, yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takutkan azab Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan apa-apa pun dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberikan apa yang mereka berikan dengan hati yang takut kerana mereka tahu bahawa mereka akan kembali kepada Allah. Merekalah yang bersegera untuk mendapatkan kebaikan dan merekalah golongan yang segera memperolehnya."

Jika kita teliti ayat-ayat ini, kita akan menyedari bahawa ciri-ciri utama yang ada dalam jiwa as-sabiquun semuanya berkait rapat dengan hati. Mereka takutkan azab, tidak mensyirikkan Allah dan mereka sentiasa beringat-ingat dengan hari kiamat. Dan mereka percaya dan yakin dengan ayat-ayat Allah dalam al-Quran. Justeru, kecemerlangan pada hari ini tidak akan dapat kita capai apabila ia tidak bermula dengan hati. Ia juga tidak akan tercapai jika tidak jadikan al-Quran sebagai landasan atau sumber rujukan kita. Inilah apa yang kita dapat pelajari dari golongan as-sabiquun.

Umat pada zaman ini terlalu sikit yang bersegera melakukan kebaikan. Yang lainnya sibuk dan bersegera melakukan perkara-perkara yang tidak disuruh malah bercanggah dengan perintah Allah taala. Justeru, tidaklah pelik umat pada hari ini berada pada tahap yang menghinakan.
Daripada Imam Daud, Nabi s.a.w pernah bersabda, "Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni suatu hidangan." Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran jumlah kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah dia wahan?" Berkata Nabi, "Cintakan dunia dan benci mati".

Sumber: Tip2 cemerlang dari al-Quran oleh Dr.Danial Zainal Abidin

0 comments: